Thursday, November 14, 2019

sajak buat mia..

mia..
hidup ini begitu indah..

lihatlah kilauan sinar mentari pagi di sebalik titisan embun di hujung dedaun..
kita bisa terleka oleh merdu siulan burung-burung camar di dahan rimbun..

dengarlah kocakan riak-riak di kolam dan sayup-sayup deruan ombak di pantai..
saat demi saat yang berlalu umpama butiran titis hujan yang membasahi pepohon yang longlai..

dedaunan hijau subur terbit bebunga indah menghiasi taman aneka warna..
hidup umpama suatu perjalanan yang berliku dan kita hanya musafir yang terkesima..


janganlah dikau lupa..

di sebalik banjaran gunung berbalam ada gurun tandus, jurang dan rimba penuh onak duri..
di sebalik langit membiru ada awan gelap membawa hujan dan ribut salji..

di sebalik riak ombak di pantai ada gelora yang membadai keras dan tsunami yang melanda..
di sebalik rerumput yang menghijau ada lahar panas membakar segala..

kita bukan lautan yang membiru, bukan gunung yang megah menjulang..
kita adalah al-insan yang berasal dari sekepal tanah hitam, daging, darah dan tulang belulang..

kita bukan bumi yang luas terbentang, bukan langit yang tinggi mengawan..
kita cuma sekadar hati di dalam jasad kerdil yang mempunyai secebis cita-cita dan keazaman..




ketahuilah mia..

bahawa ketentuan Allah memilih dan memuliakan kita dengan perintahNya..
andai kita beriman dan beramal soleh berpandukan Quran dan Sunnah RasulNya..

kemuliaan kita melangkaui malaikat, langit, bumi dan segala makhluk melata..
dunia ini diwariskan kepada kita dan di syurga Firdaus dikau menjadi bidadari jelita..

di dalam jasad kita yang kerdil ini ada segumpal daging bernama hati..
menjadi takhta rebutan antara Iman dan nafsu..
andai Iman menjadi sultan maka bercahayalah wajah indahlah pekerti..
jika nafsu menjadi raja maka tercemarlah budi hitam lah wajah mu..

di sisi Allah kita tidak dinilai dengan indahnya wajah dan banyaknya harta..
tetapi Dia menilai akan hati yang mahmudah dan amal soleh yang tulus..
secebis zarah Hubbi-Imaani yang tertanam di dasar jiwa..
lebih berharga di sisiNya dari emas sebesar langit dan bumi sekali gus..

pandangan manusia sesungguhnya hanya mampu mengenal wajah kita..
namun tidak mampu melihat rahasia hati..
andai kita muda dan berharta nescaya manusia suka menjadi teman temasya..
mereka meninggalkan kita pabila miskin dan tua, tak lagi peduli pabila kita mati..

saban waktu kita berusaha memperindah tempat jatuh tatapan manusia pada diri ini..
janganlah lupa hati yang tersembunyi tempat jatuh kasih Ilahi Yang Maha Suci..

bebaskah lah hati mu dari sifat mazmumah, hasad dengki dan iri hati..
nescaya diri mu terselamat dari iblis dan sekutunya yang berusaha menipu tanpa henti..


alangkah beruntungnya..

andai kita mampu berusaha sekuat mungkin untuk akhirat seperti halnya dunia..
mengerjakan yang fardhu dan sunat, menjauhi yang haram dan syubhat..
memelihara maruah diri, menuntut ilmu, mencari rezeki yang halal dan membina keluarga..
moga di dunia yang fana ini hidup kita yang singkat diberi berkat..

keazaman dan cita-cita mu tetapkanlah, lalu daya usaha mu perteguhkan lah..
kita berusaha dan berdoa, penuh yakin tanpa jemu bertawakkal kepada Allah..

kejayaan milik yang berusaha, usah hanya berserah pada nasib, jiwa pasif hati kecut..
jangan jemu menuntut ilmu, dengan ilmu kita mulia, agama terpelihara syaitan takut..


mia..
ingat lah pesanan ini..

bebaskan lah hati mu dari bergantung hidup, mengharap, meminta dan pasrah kepada dunia..
jangan dikau tumpahkan cinta mu seluruhnya kepada sesama manusia yang bakal fana..

kerana manusia tidak dapat mempastikan rezeki, hidup mati sendiri..
cari lah cinta Ilahi, biar sebesar biji sawi, itu lah kepunyaan mu untuk bekal hingga akhir nanti..

jangan biarkan masa berlalu saat demi saat tanpa dikau perhatikan untung nasib mu..
demi sesungguhnya masa itu adalah modal akhirat buat kita..
Subhanallah, Alhamdulillah, Laailaha illallah, Allaahuakbar tertanam pohon di kebun syurga mu.. tilawatul Quran cahaya di kubur, tahajjud cahaya di sirat, neraka terpadam kerana titis airmata..
inilah beberapa baris sajak sekadar ingatan buat mia yang dikasihi..
moga bermanfaat buat tatapan di kala lapang..
tiada apa yang diinginkan hanya sekedar mengharap redha Ilahi..
buat bekalan dalam hidup yang hampir ke penghujung perjalanan pulang..

1 comment:

  1. terima kasih abah...untuk puisi yang begitu indah.. sememangnya hidup ini penuh dengan kilauan kegembiraan yang sementara.. semoga ditunjukkan Allah jalan yang baik insyaallah...

    ReplyDelete