Thursday, August 27, 2009

ibuku yang keseorangan

ibu..
anakanda datang
dari jauh
namun jarak tiada apa
kerna hati ku
masih berada di rumah ini
biar jasad terpisah
namun darah mu
mengalir di jantungku
bagaimana
bisa ku lupa
ku gagahi jua
dalam kesempatan
yang sedikit cuma
anakanda mengerti
sejak ayah pergi
ibu tiada siapa di sisi
cuma anak-anak
datang sesekali
melihat dengan kasih
dengan rindu
senyum dan tawa
dan air tangan
yang membesarkan kami
oh ibu..
anakanda
pasti kan pulang jua
biar di hujung dunia
denyutan jantung kita sama
dan minat kita serupa
beberapa rakaat
di hadapanNya
mengubat kenangan
bersama ayah
kami anak lelaki
yang membawa warisan
memikul amanah
agar ibu
dan rumah tua ini
tidak sunyi
oh ibu..
anakanda kembali
petang ini
kita berbuka puasa
dan mengkisah
kenangan lama
tanpa ku sedari
anakanda yang dulu
tidur di riba mu
kini masih
merasakan kasih..

Sunday, August 23, 2009

bulan jihad

sebelas bulan
melayan perut
mata dan farji
hasilnya?
stress..
bulan ini
patut rehat..
lalu jiwa dan hati
jihad mencari janji
silih berganti hari
di manakah malam
yang sebanding
83 tahun usia
tegakah
diulit mimpi lagi?
mata, butakan
telinga, pekakkan
lidah, bisukan
otak, lupakan
dari dunia yang fana
lihat, dengar, kata, fikir
akhirat
keagungan Ilahi
hingga jiwa dan hati
terpadu
dalam iman dan ihtisab
dalam siyam dan qiyam
hasrat hanya satu
moga Dia redha
memberi hadiah
Taqwa
di pagi raya.

Wednesday, August 19, 2009

hati terpenjara

mengapa kita
masih dituliskan rezeki
di sini?
apakah mungkin di sini
jejak terakhir ..
mengapa bukan
di sana, di sisi kecintaan
tempat bercanda..
apakah Allah lebih kasih
di sini
mendirikan bukti
dan saksi..
tiap saat
tiap jejak
mungkin di sini
berakhir usia
maka relakanlah
andai di sini
gugur jasad kita
kerna mungkin
di sini tertumpah
kasih Allah..
perjalanan kembali
masih jauh;
namun hakikatnya
Dia tidak pernah
meninggalkan dan melupakan.
andai cinta
tertumpah pada insan
yang jauh nun di sana
sadarlah..
sesungguhnya mereka
tidak mampu memiliki
hati yang kasih
kerna hati ini
telah fana di dalam
penjaraNya.

ramadan datang lagi

sejak 11 bulan
kini di ambang pintu
sungguh tulus tetamu ini
pintanya hanya secebis hati yang rela
dan hasrat yang tekal
agar engkau kembali
kepada fitrah
tinggalkan segala kepalsuan
dan kesesiaan
ramadan menjanjikan
keampunan
rahmat
pembebasan
taqwa
lailatul qadar
maka rebutlah permata
dari tiap saat yang berlalu
jawaban dari setiap bingkisan
rehatkan diri mu
di rumah Allah
tenangkan hati mu
dalam zikrullah
bukankah iblis durjana itu
terbelenggu dalam kehinaan
mengapa nafsu mu pula
engkau biarkan menjadi setan?
ramadan..
engkau telah bertandang
ke rumah ku
sedang ramadan yang dulu
masih belum pulang..

Wednesday, August 12, 2009

tarikat anak sekolah dan orang pencen

Di zaman ini
mencapai syurga
bukan mustahil
jalannya begitu mudah
sangat hampir
begitu jelas
hingga sukar dipercaya
lihatlah anak sekolah
dan orang pencen
saban hari
melalui jalan itu
tanpa sedar
tanpa percaya
itulah jalan syurga
di situlah
taman syurga
hingga suatu masa
mereka lalu alpa
dan tertanya2
di mana jalan syurga
sedang jalan itu
masih ada di situ
laluan anak sekolah
dan orang pencen
mereka saban hari
melihat tanpa mengerti
di akhir zaman ini
laluan anak sekolah
dan orang pencen
itulah tarikat
yang tinggal buat kita.

Monday, August 3, 2009

dunia yang tak pernah bosan

entah mengapa
malas rasanya berkarya
mungkin ilham yang kontang
atau rasa yang gersang
atau rutin hidup yang bosan?

wahai diri..
selagi engkau mengaku manusia
bosan itu adalah ucapan dunia
sedang di syorga segalanya sentiasa berubah
dan engkau sentiasa tertanya-tanya
nikmat apakah selepas ini
sedang nikmat semalam masih terasa
dan engkau sadar setelah 40 tahun
dan di hadapan mu ada 70 ribu bidadari
ah! andai mereka tahu kerana apa
aku perolehi keampunan dan kemuliaan ini..

atau..
siksa apakah selepas ini
sedang azab dahulu masih berbisa
dan aku telah merana sejak seribu tahun
ah! andai aku bisa kembali buat sesaat..
ah! andai aku tidak mengikuti syaitan terkutuk..

hari-hari ini bagaikan mentari yang terbit dan terbenam
dan bulan yang mengambang dan hilang
sedang ombak di pantai terus menghempas
dan pepasiran menerima dengan rela
bukankah nafas mu, jantung mu masih seperti 45 tahun dulu?
sungguh, jika dunia ini tidak pernah bosan dengan mu
mengapa begitu berani dan carut lidah mu yang tidak bertulang
mengatakan bosan kepada Tuhan dan SunnahNya yang sempurna..?

aduh! kiranya aku masih menjadi mangsa kedangkalan iman...