Wednesday, July 29, 2009

dimensi keramat

Aku rasakan
azamku masih kuat
masih seperti dulu
jika kala muda
jejakku merata
ceruk rantau
aku dirikan bukti
dan saksi
kini, aku rasakan
masih berada
di jalan itu juga
kini, di sini
aku dirikan bukti
dan saksi
jejak ini
jejak ku jua
setiap tapak kaki
di lembah
dan gunung
di situ, di ketika itu
dalam sepertiga saat
kilasan zikrullah
cukup jadi bukti
langit dan bumi
jadi saksi
aku masih beraksi
di jalan itu
yang ku tempuhi
sejak kala muda
dan langkah ku
masih berdaya
menjejaki gurun
dan laut
selagi nafas
masih segar
ingatan masih
tegar dalam ikrar
di ruang bai'at
dalam dimensi keramat
20 tahun lalu.

entah mengapa

Entah mengapa sejak ku pulang
Ilham puisi kasih lewat kata-kata
Tidak lagi bisa ku coretkan..

Apakah setelah bertentang mata
Hati ku telah terpaut lalu enggan
Mengikut ku kembali ke daerah ini?

Atau apakah ilham kasih
Berubah mengikut waktu
Menjadi nota cinta lagu rindu?

Tapi seruling anak kembara
Belum pernah terdengar alunnya
Walau setelah bertahun di rantau..

Sesekali dapat ku rasakan
bagai ada bingkisan dinihari
Lewat siulan unggas, apakah itu?

Ah! kiranya aku
masih terlalu dungu
Untuk memahami bahasa cinta sebenar..

Apakah rembulan membutakan hati ku
Atau mentari membutakan mata ku
Atau aku yang terfana oleh dunia?

Mungkin aku harus segera kembali ke sana
Menelusuri jejak cinta
yang kelmarin ku tinggalkan

Alangkah kiranya bisa ku temui kembali hati ku
Ketika bersama kalungan bunga
Dan kehangatan kucupan pertama..

Mungkinkah hati ku yang dulu itu
Bisa mengenali wajah ku kini yang kian suram
dimamah usia dan dosa-dosa..?

Wednesday, July 22, 2009

syurga yang disegerakan

Di sini..
di tempat ini
taman syurga akhirat
yang disegerakan
dan penghuninya
engkau lihat mereka
bagai angin bertiup
bagai air mengalir
setiap pagi dan petang
permulaan malam.

Di sini..
di tempat ini
piala2 diedarkan
minuman2 dihidangkan
para penghuni
taman syurga akhirat
yang disegerakan
merasai sepenuh nikmat
bila hijab tersingkap.

Di sini..
di tempat ini
tidakkah kau lihat
wajah-wajah
gembira dan tenang
tiada apa yang diharapkan
melainkan pertemuan itu
di taman syurga hakiki
dengan Kekasih.


Di sini..
di tempat ini
taman syurga akhirat
yang disegerakan
tidakkah kau lihat
hati-hati yang menyaksi
jiwa-jiwa yang rindu dan asyik
tidak pernah jemu menanti
saat kembali.

muniyatul musolli

Segala puji bagi Allah SWT
Tuhan sekalian alam,
Tuhan yang menjadikan
solat lima waktu
jalan bagi sekalian muttaqiin.

Tuhan yang menjadikan
di dalam solat itu
sejuk mata hati
penghulu segala mursalin,
Muhammad SAW
dengan musyahadah akan Tuhan
dalam solatnya.

Dan menjadikan solat itu
satu rukun dari rukun agama
dan menjadikan padanya
lazat manis khidmat
solat yang menempati syurga
yang disegerakan di dunia
bagi segala hambaNya yang muhibbin.

Dan tempat galian segala rahsia
daripada tajalli Allah SWT
bagi orang yang asyik;
rindu mereka akan mahbubnya;
iaitu Allah SWT.

Segala puji bagi Allah SWT
yang telah menjadikan kita
sebaik2 makhluk,
meletakkan kita di sebaik2 tempat,
memerintahkan kita sebaik2 perintah,
mengurniakan kita sebaik2 kurniaan.

Ya Allah, pautkan hati ku di rumahMu
terbitkan rinduku dalam qiam,
ruku' dan sujud kepadaMu,
terlerai kasihku menyebut NamaMu,
fana diriku menyaksikan KeagunganMu.

Hingga tidak lagi aku mampu
melangkah pergi,
melainkan dengan zikirMu
dan setiap saat ku menanti
seruan dariMu.

Labbaik..
ku datang lagi dan lagi
dengan jasadku
sedang jiwa dan hatiku
tidak pernah berpaling dari Mu.

Monday, July 20, 2009

isteriku, di ulangtahun ke 19..

Isteriku..
sejak 19 tahun lalu
engkau menjadi isteri ku
telah ku temui ramai wanita2
tiada yang lebih hebat darimu
kerna telah tertulis
hanya engkau
untuk ku..

Isteriku..
sejak 19 tahun lalu
bukan sedikit cobaan
di pinggiran jalan hidup
umpama jurang maut
hanya kesabaran
dalam pengorbanan
yang menemukan
hati kita..

Isteriku..
sejak 19 tahun lalu
lima kali syahid engkau lalui
belum ajal berpantang mati
seorang putera empat puteri
tiada wanita lain
hanya engkau
ibu mitsali..

Isteriku..
sejak 19 tahun lalu
apakah ada jasaku padamu
yang meneguhkan langkah di sirat
dan bisa menyelamatkan mu
dari percikan
bara jahanam..

Isteriku..
sejak 19 tahun lalu
belum pernah aku berputus asa
membina mahligai syurga kita
dengan jihad diri dan harta
bukankah impianmu
menjadi ratu di syurgaku..

Isteriku..
sejak 19 tahun lalu
ku fikirkan pada saat ini
betapa kurnia Allah buat kita
harta dan keriangan silih berganti
datang dan pergi
namun hidayah
adalah segalanya..

Isteriku..
di saat ini 19 tahun lagi
andai kita masih bisa
melihat bulan dan mentari
biarlah saat yang berlalu
menjadi zikir qalbi
dan lisan suci..

Isteriku..
di saat ini 19 tahun lagi
andai hanya ruh kita bisa berbicara
lewat rasa syukur dan kasih
kepada Ilahi,
hanya sedikit harta jariah
ilmu manfaat
dan anak2 yang berbakti
penerus legasi
agar di bulan syaaban
kita tidak merasa
kecewa menanti
di pinggir pusara..

Sunday, July 19, 2009

seorang caca tua

Seorang caca sering ku lihat
kelibatnya di rumah sejahtera ini
hari ini bersungguh hati membaca
bingkisan suci Maha Pencipta
dan puji-pujian buat kekasih
entah difahami bahasa syurga
tapi besar hasratnya, agar syurga
memahami bahasanya ..

Rembesan airmata mengalir
lewat pipi kering berkedut
mungkin singgah rasa kasih
buat Yang Maha Pengasih
atau hadir imbasan syurga
salam dari Maha Pencipta
atau terimbau dosa-dosa
di hari-hari yang celaka
berpisah dari pencinta dusta..

Tiada lagi sabar di hati caca
gementar sendi kelu kata-kata
pabila terdengar seruan Rabbani
aku di sini, di rumah sejahtera
di saat ini berdiri dan bersaksi
Tiada Tuhan Selain Allah
Muhammad itu Pesuruh Allah

Ku lihat buat kesekian kali
seorang caca ,pasrah dan berserah
merendah diri di dalam saf
merenung tanah tempat kembali
rukuk, sujud dan berdiri
berharap bisa mencapai rahmatNya
dan syurga yang belum difahami bahasanya..

alam yang murka

Di rumah pusaka ini
di tilam usang bertukar rupa
hasil jerih perih ibu tua
isteri dan anak ku beradu
longlai melawan arus masa
dan alam yang murka..

Di luar sana, gerai burger
dan remaja berkeliling meja
sorak sorai melihat wirabola
sedang jerebu langit berbau hangit
tanah gambut yang terbakar
persis peparu dan jantung
yang rentung kerna rokok..

Anak-anak ku , usah tertipu
tawa riang anak gelandangan
bukan penentu bahagia
tidak kah kau lihat..
wajah-wajah kosong tanpa cita
jiwa-jiwa kosong tanpa cinta..

Di alam yang murka ini
bisakah mereka melangkah
menemui hari esok yang terang
sedang sampai petang ini
jerebu masih berleluasa..
dan lusa siapa bakal tahu
selsema babi merasuk bagai hantu
dan rumah pusaka ini jadi penjara
buat kita sekeluarga..

Wednesday, July 15, 2009

mengapa masih di sini?

Mengapa engkau masih di sini
sedang teman-teman telah sampai di perbatasan
apakah yang memberatkan mu?

Ketahuilah..
apa yang memberatkan mu dari melangkah ke Jalan Allah
itulah yang akan mendorong mu menuju jahanam.

Kasih yang engkau ungkapkan perlu pembuktian
bukankah tiada yang dikasihi secara hakiki
selain Allah..

Dunia yang engkau runsingkan itu
sebenarnya cuma kesenangan yang menipu
akhirat itu lebih baik bagi mereka yang bertaqwa

mampukah engkau mengawasi saat demi saat
nafas demi nafas dengan hasanah
tanpa terkena suatu dosa?

Sedang syaitan itu sejak dulu musuh yang nyata
dan nafsu di rongga dada mu sentiasa
mengajak kepada kejahatan

Bersegeralah kepada keampunan Allah
dan jannah yang seluas seluruh langit dan bumi
dijanjikan untuk orang yang bertaqwa

Masihkah engkau termangu
menanti hari esok yang lebih cerah
sedang nafas mu hanya tinggal satu-satu

Keluarlah..
dalam keadaan ringan dan berat
berjihad di Jalan Allah dengan harta dan diri mu

Sesungguhnya Allah telah membeli
diri mu dan harta mu, dibayar dengan syurga
berperanglah di Jalan Allah, membunuh dan terbunuh..

Demikianlah..
perniagaan yang bisa menyelamatkan dari azab pedih
kamu beriman dengan Allah dan Rasul
dan berjihad di Jalan Allah dengan harta dan diri..

Keluarlah..
isteri mu, anak-anak mu sedang mengharapkan syafaat dari mu
sebagai syuhada' yang benar dan tulus..

Monday, July 13, 2009

mengapa aku di sini

Mengapa aku di sini?
Allah yang menghantar aku ke sini
Demi mempersaksikan Laailahaillallah
Di mana bumi dipijak
Di situ langit ku junjung
Di atas bahu amanah ku pikul
Menyeru manusia kepada Allah
Mentauhidkan Allah setiap detik
Gerak diam ku dengan perintah Allah
Denyut nadi ku adalah Asma’ Allah
Degup jantung ku adalah tasbih
Getaran lidah ku adalah tahmid
Nafas ku hela adalah tahlil
Lontaran suara ku adalah takbir
Langkah kaki ku adalah jihad
Jangkau tangan ku adalah sedaqah
Kerut dahi ku adalah tafakkur
Renung mataku adalah tadabbur
Duduk ku adalah muraqabah
Bangun ku adalah mujahadah
Kata-kata ku adalah dakwah
Doa tangis ku adalah istighasah
Mati ku fana fillah
Hidup ku baqa’ billah
Jasad ku gugur fi sabilillah fi bilaadi rasulillah

Tuesday, July 7, 2009

hai anak

Hai Anak..
Ku lihat dalam kesamaran mata tua
usia mu, mencecah zaman gemilang
senyuman mu, sekilas penuh daya tenaga
kaki mu, mulai melangkah ke horizon
tangan mu, menggapai pepenjuru langit
jiwa mu, teguh dalam Taqwa
hati mu, sedar dalam Cinta
emosi mu, tenang dalam Rela
wajah mu, seri dalam Cahaya
jatidiri mu, dikenal kerna Jasa
kata-kata mu, hikmah dalam karya.

Hai Anak..
kejayaan dan kebahagiaan itu
sedang menanti di sepanjang perjalanan
yang panjang penuh cabaran. maka carilah teman setia
yang membela, berkongsi rasa
hindarkan mata-mata curiga, lidah berbisa
lihatlah ke hadapan, usaha mu kini penentu masa depan
usaha dalam masa adalah pencetus anjakan
jangan pernah merasa tewas, biar terluka
setiap fasa adalah asas, dan setiap kejayaan
adalah perubahan fasa demi fasa.

Hai Anak..
mulakan langkah kaki kanan mu
di pangkal jalan yang lapang dan terang
bawalah cahaya di hati mu, dan suluhlah mata mu
lihatlah terus jauh ke hadapan dan berlarilah
letakkan hati mu di atas awan dan terbanglah
lupakan bebayang yang tertinggal di belakang
bekas tapak kaki mu biar jadi ikutan
cahaya Taqwa dan Iman di hati mu biar jadi pedoman
ketahuilah, dunia ini bukan pusaka Adam
tetapi amanah untuk umat Muhammad di akhir zaman..

Monday, July 6, 2009

sebelum tidur, ingatlah, engkau akan mati..

Maksud hidup itu
bila engkau akan tidur
ingatlah..
tidur itu saudara mati,
maka pergunakanlah
saat-saat akhir sebelum
mata mu terlena
untuk mengingati Allah
dan muhasabah diri
taubat dari segala dosa.

Ingatlah..
tatkala engkau hampir terlena
itulah saat sakaratul maut
sakitnya 300 tetakan pedang
jangan teralpa dengan mata
perteguhkan kesaksian mu
hadirkan hati di sisi Ilahi
hingga hilang kesedaran..

Ketahuilah..
betapa ramai mereka
yang tidur dan terus pergi
terperangkap jiwa
dalam dimensi sepi dan ngeri
anak ku, isteri ku, harta ku, teman ku..
terlena di sisi isteri tercinta
dibangunkan dalam liang
di celah batu-batu nisan
di hari yang sungguh celaka..

Ya Allah..
kembalikan aku..kembalikan aku..
ke kamar tidurku
agar bisa aku koreksi imanku
di saat-saat akhir hidupku..

Sunday, July 5, 2009

bangunlah dan berjuanglah

Biar berapa kali engkau jatuh
terseliuh, benjol dan patah
jangan sesekali engkau mengeluh
kecewa dan putus asa..
engkau terjatuh
kerana engkau berjalan
berlari dan melompat..
engkau tidak ingin
menjadi bongkah batu
atau batang kayu
yang kaku dan mati..
perjalanan mu masih jauh
berjalanlah, berlarilah, melompatlah..
kau merentasi ruang dan masa
merentangi keinginan dengan usaha
melampaui zaman dan budaya
memerangi gejolak nafsu dan hawa..
biar terseliuh, benjol dan patah
menjadi tanda dan bukti
kau punya jatidiri..
nenek moyang kita dulu
mengukur dada langit
menjelajah batas bumi
menduga dalamnya laut
tiada tiap inci tanah dan air di bawah mentari
yang tidak ditinggikan padanya
kalimah Tauhid
Laailaha illallah
hingga akhirnya
jasad mereka rebah
bersama tetes darah merah
di hujung2 dunia..

Wednesday, July 1, 2009

wahai ibu ayah dan anak-anak

Berapa ramai anak remaja
datang dari jauh
membawa harapan ibu ayah
mencari jatidiri
pada segulung kertas
yang bakal memberi nilai
dan mewarnai kehidupan

Berapa ramai anak remaja
lelaki dan wanita
datang dari jauh
tidak berbekal
tidak berpedoman
cuma rasa ingin tahu
dan pasrah pada nasib

Berapa ramai ibu ayah
datang dari desa
membawa anak remaja
lelaki dan wanita
melontarkan amanah
ke atas bahu guru
jadikan anak ku manusia
yang bernilai dan berjasa

Wahai ibu ayah dan anak-anak
di sini tidak mengajar ilmu
Quran dan Sunnah
cahaya dan jalan petunjuk
sedang kami sendiri
masih tercari-cari
jalan kembali

Wahai ibu ayah dan anak-anak
jalan kami jalan ahli dunia
mencari wang dengan segulung kertas
relakah kalian mentitipkan intan
kepada kami yang buta
dan tidak bertangan?
bukankah perompak di mana-mana
di setiap denai dan lurah?

Wahai ibu ayah
andai anak-anakmu kembali
tidak membawa nilai dan jasa
atau buta dan tidak bertangan
jangan salahkan kami..
jalan kami jalan ahli dunia
mencari wang dengan segulung kertas
tiada ilmu Quran dan Sunnah
sedang kami sendiri
masih mencari-cari
jalan kembali..