Tuesday, March 31, 2009

Teman ku lihat di sekeliling mu..

Temanku, jika kau lihat manusia di sekeliling mu..
berjalan berlari ke sana kemari bersama jasad mereka..
pernah kah kau terfikir dan terusik keinginan mu..
bagaimana kah hal ruh mereka bagaimana di mana ia berada..

manusia berjalan berlari kerana memburu urusan keinginan hidup..
samada tuntutan akal maupun runtunan nafsu sendiri yang tahu..
segala pengorbanan susah payah semuanya sanggup..
tidak dipaksa diperintah dalam hati sendiri yang mahu..

mereka tertawa gembira bersedih menangis..
mereka berkawan berkeluarga berkampung bernegara..
tahukah mereka entah bila rezeki di dunia bakal habis..
maut menjemput keseorangan dalam kubur membawa jiwa yang lara..

Temanku, dalam hidup ini modal terbesar kita adalah masa..
kesempatan kita selagi jasad masih bersama nyawa..
jangan hidup yang fana alpa dan lalai diri bergelumang dosa..
apa guna umur yang panjang kalau mati hati kecewa..

Demi masa, sesungguhnya insan sentiasa dalam kerugian..
kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh,
dan berwasiat kepada perkara yang haq dan kepada kesabaran..
kepada mereka ini Allah SWT menumpahkan kaseh..

bukan kah mata kita sentiasa menipu..
orang yang tidak beriman hidup aman makmur senang lenang..
untuk menyebut nama ALLAH pun mereka tak mampu..
apa lagi untuk berzakat berpuasa dan sembahyang..

sebenarnya hidup ini hanyalah pinjaman..
jasad kita bukan milik kita tetapi hanya tunggangan,
sedarkah dikau setiap saat kita sentiasa ada punya teman..
di kanan di kiri malaikat pencatit, di belakang iblis, di hadapan Perintah Tuhan..

Temanku, hidup kita akan gumbira andai kita diberkati..
mati kita akan tenang andai kita dirahmati..
dunia adalah warisan kita generasi demi generasi..
syurga adalah tempat akhir kita hidup bahagia kekal abadi..

janganlah gemerlapan harta dan hiburan menipu diri mu..
sesungguhnya hidup dunia hanyalah permainan senda gurauan..
kehidupan akhirat lebih baik andai taqwa ada di hati mu..
nikmat syurga yang berkekalan adalah impian mereka yang hidup berwawasan..

Friday, March 13, 2009

kunci kebebasan

teman ku..

kebebasan itu..
apabila aku mampu terbang tanpa sayap..
apabila aku mampu berlari tanpa kaki.
apabila aku mampu berkata tanpa suara..
apabila aku mampu melihat tanpa mata..

teman ku..

tidak kah dikau rasai..
selama ini kita ada belenggu di kaki..
sebenarnya kita telah terpenjara..
andai hari ini bisa ku hancurkan belenggu dan tembok besi..
nescaya dikau tidak lagi melihat aku di sini..
merengkuk di celah jeriji..

teman ku..

bawa kan pada ku gergaji..
atau meriam besi..
sekian lama aku bermimpi..
aku putus kan belenggu ini..
aku runtuhkan tembok penjara ini..
namun itu mimpi cuma..
aku masih begini sejak sekian lama..

teman ku..

hari ini baru aku sadar..
selama ini kita tidak menggunakan akal..
turut rasa marah dan mulut celupar..
saban hari caci maki wadar..
sebenarnya wadar itu teman kita..
mari kita ajak bercerita..
tentang kemanusiaan dan cinta..
andai suatu masa..
berbekas kasih di hatinya..

teman ku..

tahukah diri mu..
sebenarnya di tangan wadar itu..
ada kunci belenggu dan jeriji..
andai berbekas kasih di hatinya..
tentu kita bisa bebas akhirnya..

Thursday, March 12, 2009

mereka cari entah apa..

ku lihat sana sini manusia mengejar entah apa..
sanggup bersusah payah demi sehelai kertas tak seberapa harga..
apakah sebenarnya yang dicari mereka..?
apakah nama, pangkat dan wang..atau glamer dan masyhur..
berapa ramai pencinta2 dunia yang telah hancur..
dari firaun, haaman dan qarun yang telah terkubur..

ku lihat sana sini manusia mengejar entah apa..
apakah mereka seperti kelkatu mengejar cahaya.?
bukankah api itu bakal membakar sayap kerdil mereka..?
lalu mereka jatuh berguguran hangus tak bersisa..
indah warna api dan terang cahayanya rupanya tipudaya belaka..

ku lihat sana sini manusia mengejar entah apa..
berlumba-lumba bermain-main seperti anak ikan di kolam..
tidak tahu makna hidup sekedar hiburan menghabiskan malam..
dalam ketawa longlai mereka hanyut dan tenggelam..
turut kan nafsu syahwat gelap hati dan cahaya muka suram..

ku lihat sana sini manusia mengejar entah apa..
berjuang mencari jati diri makna hidup hakiki dan rahasia alam..
menghabiskan masa muda menuntut ilmu mendidik nafsu dengan Islam..
berjihad beribadah bersabar beristiqamah sampai maut datang..
mendirikan solat membayar zakat bangun malam..

Wednesday, March 11, 2009

tanda kiamat yang selalu kita abaikan

ingat dikau wahai teman ku..
akan tanda ingatan Allah pada mu dan juga aku..
bahawa hidup dunia ini umpama embun pagi..
sebentar cuma sekedar hingga waktu dhuha..
bila mentari mulai menjalar panasnya..
luput embun di hujung dedaun bersama angin lalu..

saban malam sepi tatkala dikau hampir terlena..
di atas tilam yang empuk kesukaan kita..
tiap hari saban malam sejak dulu hingga kini..
tatkala hampir terpejam mata mu maka ingatlah..
demikian pada saat itu umpama malaikat maut telah datang..
memisahkan ruh mu dari jasad dan segala kelazatan dunia..

betapa aku tak pernah mengira andai itu lah saat terakhir kita bersama..
menatap bulan bintang dan mentari..
andai aku tahu esok tiada lagi rezeki kita bersama..
nescaya ku tuliskan untuk mu surat wasiat..
hidup ini jangan dikau persiakan kerana maut pasti datang..
memisahkan nyawa dan badan..

bacalah dikau doa ini..Bismika Allahumma amuutu wa ahya..
"dengan Namamu Ya Allah matiku dan hidupku.."
moga tidur mu beroleh rahmat dan pahala..
dan andai maut benar-benar datang menjemput dalam lena..
nescaya kembali mu dikira beriman jua..

ingatlah teman..ashabul kahfi terlena 309 tahun..
Nabi Uzair AS pula 100 tahun..
bukankah Allah berkuasa membuat segala..
tidur itu adalah umpama maut juga kiamat kecil buat kita..
andai esok hari ada rezeki lagi untuk kita di dunia..
pepagi kita sedar dari lena yang panjang..
umpama kebangkitan di mahsyar yang gempar..
bacalah dikau doa ini..
Alhamdulillahillazi ahyana ba'da ma amaatana wa ilaihinnusyuur..
"segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami selepas kematian kami..
dan kepadaNya kami dibangkitkan.."

temanku..tidur dan bangkit adalah ingatan dari Allah buat kita..
suatu saat nanti kita pasti merasai..
saat sakaratulmaut dan bangkit kembali..
sungguh..andai kita fikirkan tidur dan bangkit kita tiap hari..
memang wajib kita segera kembali..
menyesali dan menangisi segala dosa2 dan kealpaan sendiri..

andai maut itu semudah dan seindah kita lena di malam hari..
dalam alunan musik mersik merdu silih berganti..
nescaya tak sabar ku tunggu malam nanti..
sekarang jua ingin ku lihat di syurga sana indahnya bidadari..

hancurnya suatu bangsa

setiap bangsa akan memperoleh tamaddun hebat dan agung dirasai setiap peribumi..
menjadi kemegahan kekayaan dan gaya hidup diwarisi generasi demi generasi..
monumen, batu bersurat , artifak-artifak jadi bukti di sini dahulu pernah berdiri satu negeri..
demikian keadilan Ilahi untuk hambaNya agar mereka insaf hakikat hidup abadi..

di negeri ini dulu ada raja-raja dan para hartawan..
tentera yang gagah dan gedung harta emas perak intan berlian....
ladang dan taman saujana memandang ternakan dan buah-buahan..
saudagar dan dagangan sarat muatan di darat dan lautan..

di sini ada istana dan mahligai dengan kubah dan menara kota..
deretan kilang gudang, kedai-kedai dan pasar-pasar..
rumah-rumah dan taman-taman permainan yang permai..
jalan-jalan besar tali air dan sungai-sungai mengalir..

di pepenjuru kota nan mewah ada juga pengemis di hujung kolong di bawah jambatan..
saban hari mengharap sedikit ehsan di kaki kuda sang hartawan..
sekeping dua wang dirham buat pengubat lapar dahaga tidak keruan..
namun hartawan dan jutawan kedekut sekeping dirham sebesar pintu gerbang..

di hujung malam di kelab-kelab dangdut milik tuan tanah kedawung..
ada penari-penari bogel dan cangkir-cangkir berbau hanyir..
beberapa lelaki yang buta mata dan hati kerana gila manis dan lazatnya dunia..
lupa Tuhan lalu Dia menjadikan mereka lupa diri tak tau diuntung..

firaun di atas takhta perintahnya bermaksud dekri hidup mati..
kronisme kolusi korupsi nepotisme merayap umpama anai-anai makan tiang seri..
politikus umpama tikus-tikus meratah harta rakyat miskin yang menanti..
peniaga tamak dan serakah dalam senyum dan ramah mencekik dan menipu kanan dan kiri..

teruna dara bermanja-manja di tepian taman dan tempat hiburan..
melupakan solat dan adap sopan ketimuran ketagih heroin ectasy dan kencing setan..
cinta dan kasih katanya perlu dibuktikan dengan kata dan perlakuan..
zina di bawah pohon-pohon di hujung malam, esok pagi bayi-bayi di lahirkan di tandas awam..

masjid -masjid megah menjulang bak kristal bersinar dipanah cahaya mentari..
harga berjuta dinar habis wang dari pelbagai hasil cukai entah dari mana tak siapa peduli..
tika rembang siang cuma beberapa pelancung asing menyapa imam dan bilal yang makan gaji..
di mana makmumnya..? ohhh sekarang ada di padang bola di kedai mamak tengok gusti..

ustaz dan lebai sana sini cari makan mengajar ngaji mencari rezeki..
ceramah bebas ala kadar suam2 kuku di selang seli jenaka dan tawa geli hati..
kepit kitab celak ketiak..ketiak bau kitab kitab bau ketiak ntah apa makna kurang mengerti..
janji wang masyuk cukup bulan bayar rumah bayar kereta anak bini nak makan kfc..
fasya' mungkar tutup mata jaga periuk nasi takut dapur tak berasap anak bini cabut lari..

lalu datang jiwa yang ikhlas memberi peringatan dari Allah kerana Allah..
kepada raja dan dato menteri, peniaga, petani dan muda mudi..
kembali lah bertaqwa lah kepada Allah , peganglah Quraan dan Sunnah Nabi..
teguhkan iman, dirikan solat, bayar zakat, makmurkan masjid, tuntutlah ilmu bersihkan hati..
tinggalkah kezaliman, kejahilan, KKKN, rasuah, skinhead, punk, gothic, pengkid entah apa lagi..

apabila hati yang keras dan sombong dengan besarnya kuasa dan limpahan harta..
mencantas dan menghina, mencibir dan menyingkir..
apabila jiwa yang jahil dan gersang dari iman dan adap sopan, dengan takbur mencabar Tuhan..
kononnya hidup bebas tidak bertuhan tidak sadar jadi hamba iblis dan setan..
apabila haq dan batil jadi pemanis di bibir para penjaja cerita yang menjual akhirat untuk dunia..
maka fitnah tersebar umpama banjir mentari siang telah sirna oleh gerhana..

ketika jiwa-jiwa yang alpa ketawa riang makan minum bersuka ria..
lautan mengirim warkah maut tsunami melanda menghancur dan ratusan ribu jasad hanyut..
ketika hati-hati yang leka bergurau senda bersorai sorai alunan muzik di malam pesta..
gunung memuntahkan lahar besi dan batu cair merah menyala menghempas membakar segala.. malaikat maut dengan ribuan tenteranya mencantas jiwa-jiwa dari jasad yang celaka..

hancurlah suatu bangsa yang jadi hamba dunia kerana sesungguhnya mereka pasti hancur..
bukankah segala sesuatu pasti binasa kecuali Wajah Allah..?
maka berpegang teguhlah kamu wahai bangsaku dengan tali Allah jangan bercerai berai..
sebelum azab didatangkan sedang kamu berputus asa maka kembali dan berserahlah..
bertaqwalah dan carilah jalan menuju kepadaNya..berjihadlah di jalanNya moga kamu berjaya..
wahai manusia! carilah jalan kepadaNya dan jalanilah jalan itu kelak kamu akan menemui Dia..

Tuesday, March 10, 2009

apakah maknanya teman

apakah maknanya teman..
sekadar nama yang bisa disebut..
dan wajah yang bisa dikenang..
dan ungkapan kata-kata lewat email..
dan gurauan lewat sms..

tanpa minta dan harap..
tanpa beri dan terima..
tanpa mimpi dan khayal..
tanpa cinta dan mesra..
tanpa budi dan balas..
tanpa janji dan ikatan..

teman itu nama yang dipanjatkan dalam doa-doa..
teman itu pujian sederhana diketiadaannya..
teman itu ingatan yang baik dan senyuman ikhlas..
teman itu ingatan yang berpanjangan yang tidak dipaksa dan tidak menerbitkan rindu..

teman itu pohon rendang di pinggir jalan buat musafir lalu..
teman itu angin nyaman mengulit lena petani yang keletihan di pinggiran sawah..
teman itu awan gelap yang berarak memayungi lembah yang kontang..
teman itu hujan rintik yang menerbitkan harapan di wajah petani longlai di musim kemarau..
teman itu ikan di kali dan pucuk paku dan dedaunan untuk santapan anak desa..

dunia yang jelek 2

dunia itu jika engkau inginkan..
akan menjadi seperti kuda liar, sombong dan memandang hina diri mu..
andai engkau mampu mencapainya ia tidak akan membiarkan mu dalam ketenangan..
sehingga engkau tercampak dari belakangnya..
lalu ia menendang punggung mu, memijak dada mu dan lari meninggalkan mu yang patah tulang belakang keseorangan..

dunia itu jika engkau inginkan..
akan menjadi seperti merpati jinak yang makan di tangan..
andai engkau menangkapnya, hanya tercapai bulu-bulunya sedang ia terbang tinggi..
meninggalkan tapak tangan mu yang calar..
membuang najis di atas muka dan kepala mu..

dunia itu jika engkau inginkan..
akan menjadi seperti bayang-bayang di waktu pagi..
jika engkau kejar akan membelakangi mentari..
tika rembang ia menghilang lalu menjadi fatamorgana..
meninggalkan mu kehausan di tengah padang pasir..

dunia itu jika engkau inginkan..
akan menjadi seperti bayang-bayang di waktu senja..
jika engkau kejar akan membelakangi mentari..
lalu ia berlari memanjang ke kaki gunung..
tika malam tetiba menjelma ia hilang dalam kegelapan..

dunia itu tika malam gelita ia merajalela bersama jin dan serigala..
dunia itu tika mata mu buta ia menjadi puaka yang merasuk jiwa dan meratah jasad..
dunia itu tika hati mu alpa menjadi api yang membakar segala..
dunia itu tika nafsu mu raja menjadi iblis yang mencampakkan mu ke neraka..

dunia itu tika mentari rembang bersinar terang ia bersembunyi dalam diri mu..
dunia itu ketika mentari panas membakar ia umpama rimbunan yang memayungi kepala mu..

dunia itu andai kau punya lampu suluh menjadi jalan di bawah tapak kaki mu di waktu malam..
dunia itu andai di waktu siang ada sinar mentari menjadi jambatan ke seberang sana ..
dunia itu andai engkau buta dan mempunyai tongkat menjadi denai di bawah tapak kaki mu..
dunia itu andai kau sesat lalu ada teman tempat bertanya menjadi tanda di sepanjang jalan ..
dunia itu andai engkau sakit lalu ada tabib yang merawat menjadi obat penawar luka mu..

dunia yang jelek 1

dunia itu mengujakan dan mengghairahkan pada mulanya..
akhirnya ia membosankan dan memualkan..

dunia itu jinak , wangi dan indah pada mulanya..
akhirnya ia menjadi keji , busuk dan hodoh..

dunia itu lazat, lemak dan manis pada mulanya..
akhirnya ia menjadi racun yang membunuh..

dunia itu menghiburkan dan menimbulkan inspirasi pada mulanya..
akhirnya jika dilayan ia melekakan dan melalaikan..

dunia itu menjanjikan segala kekayaan pada mulanya..
akhirnya di depan mata segala sesuatu pindah ke tangan orang lain..

dunia itu menyokong dan menyanjung tinggi pada mulanya..
akhirnya ia menghumban di dalam tempat najis..

dunia itu memberikan segala kebebasan pada mulanya..
akhirnya ia membelenggu dan memenjara..

dunia itu mengagungkan umpama raja pada mulanya..
akhirnya ia menghina dan memperhamba..

dunia itu umpama kekasih yang penuh cinta pada mulanya..
akhirnya ia memperdaya dan curang di depan mata..

dunia itu akrab dan setia bagai teman sejati pada mulanya..
akhirnya ia menipu dan menjual diri kita kepada musuh..

dunia itu mengambil berat bagai tempat mengadu pada mulanya..
akhirnya ia memfitnah dan mengumpat di belakang..

dunia itu kuat dan teguh seperti dahan tempat bergantung pada mulanya..
akhirnya ia menjerat leher mu dengan tali gantung..

dunia itu sopan santun dan lemah lembut pada mulanya..
akhirnya ia menjadi jahat dan kurang ajar..

oleh itu ikat lah dunia mu, kendalikan dan jinakkan dia..
pijak lah dia, sebat lah dia, jadikan dia kuda tunggangan mu..
letakkan dia di bawah punggung mu..
jika dia enggan dan berontak juga setelah itu..
sembelih lah lehernya dan makan lah dagingnya..

Wednesday, March 4, 2009

sendiri ku meniti di jalan ini

kemana arah ku..?
jalan manakah kan aku lalui..?
jika aku lihat apa yang ada di hujung jalan..
nescaya aku berpandu di pangkalnya..
nescaya tegap langkah ku menerjah tiap onak dan duri, gunung dan lurah..

aku tidak melihat kecuali secebis keindahan yang bakal fana..
umpama keindahan mentari petang yg bakal disulami gelap malam..

andai aku tahu jalan ku masih jauh dan berliku..
nescaya ku bawa lampu dan tongkat kayu..
andai ku tahu jalan ku penuh onak dan duri..
nescaya ku pakai terompah besi..

telah sampai kepada ku suatu berita..
di hujung jalan yang sana ada syurga..
di hujung jalan yang sini ada api..

telah dibekalkan kepada ku dua cahaya, mata dan hati..
telah dibawa kepada ku dua tali, satu di kanan satu di kiri..
Quraan dan Sunnah Nabi..

dan jalan ku masih amat jauh dan sepi..
tiada teman setia dan kekasih..
nafas ku tinggal sisa-sisa..
tangan ku gementar dan kaki ku ketar..
betapa dunia sebenarnya telah mengheret ku jauh dari persimpangan ini..

malam kelam angin ribut kencang dan nafas ku hela satu-satu entah sampai ke pagi..
sampai bilakah harus ku menanti kaki ku melangkah..
perjalanan ini harus melihat jasad ku terbujur di pinggiran berdebu..
namun tidak rela aku mati di sini..

Oh Tuhan..
hantar lah kepada ku seorang teman..
untuk mendengar kisah ku dan merawat luka ku..
kalau di jalan ini aku harus mati..
biarlah teman ku menguburkan jasad ku dan menyampaikan wasiat ku..

saudara-saudara ku..
hakikat hidup ini kita hanya seorang diri..
dan mati mempastikan kita tinggal sunyi..
sedang mereka pergi membawa sekadar kenangan..
kita dibangkitkan juga sendiri ibu ayah anak isteri nafsi-nafsi..

janganlah dunia membelenggu kaki dan leher mu terjauh dari jalan ini..
mereka itu sekadar bunyi kicauan burung di waktu petang..
nanti bila gelap malam menerjah tinggal lah diri mu yang hampa..
bahkan jasad mu akan jatuh dan reput tidak bersisa..

Oh Tuhan..
suluhi lah jiwa ku agar ku bisa sabar meniti di jalan yang penuh onak dan duri..
hiasi lah pandangan ku dengan keindahan syurga seakan dalam jangkauan tangan..
sesungguhnya selama ini aku telah tertipu dengan janji palsu..
kini kelemahan dan kedaifan ku, aku hadapkan kepada MU..
hanya Dikau yang sebenarnya tidak pernah meninggalkan dan melupakan..

WAL-AAKHIROTU-KHAIRUU-WA-ABQAA..

Monday, March 2, 2009

jihad revisited 3

mujahid menjual siangnya dengan puasa
dan menggadai malamnya dengan solat..

mujahid mengunci lidahnya dengan Quran
dan membelenggu hatinya dengan zikir..

mujahid menghiasi hidup dengan maut
dan memperindah mati dengan hidup kekal..

mujahid menginginkan agar sebilah pedang merobek dada
atau peluru tak bermata menyiat kepala..

mujahid setelah puas keringat membasahi siang dan airmata menghujani malam
kini ia inginkan darahnya membanjiri bumi yang kontang..

betapakah mahalnya mahar bidadari syurga
akan ku beli dengan setitis darah panas ini..

betapakah hebatnya mahligai intan permata
akan ku tebus dengan robekan jantung ku dan leherku..

sungguh..
sejak sekian lama kilauan pedang telah memutuskan angananku dari dunia yang fana
tiap kali ku melangkahkan kaki ku lihat anak2 ku umpama menghantar jenazah bapa mereka..
sayu wajah isteriku seakan melambaiku kali terakhir, jumpa lagi di pintu syurga..

mujahid itu adalah orang yang tidurnya di dalam kubur
rehatnya di kamar syurga makwa..

mujahid itu adalah orang yang menginginkan 1000 nyawa
dan mengorbankan satu demi satunya di jalan Allah dan dia masih ingin hidup untuk syahid
lagi dan lagi..