Tuesday, June 30, 2009

beberapa orang lelaki tua

Beberapa orang lelaki tua
dengan perlahan tapi penuh azam
melangkah kaki yang goyah
mendaki tangga masjid
saban waktu
membilang langkah
berapakah baki umur ku
menjadi modal
bayar hutang kepada Allah
sewaktu muda
mendaki tangga pub

Beberapa orang lelaki tua
duduk dan tunduk
goyang badan bagai perdu di tiup angin
merenung karpet masjid
mengimbau kenangan silam
berapakah baki umur ku
menjadi modal
bayar hutang kepada Allah
sewaktu muda
dalam cahaya neon yang samar
bergoyang badan di kelab dangdut

Beberapa orang lelaki tua
termangu dan tersedu
menyeringai wajah gigi jarang
beberapa tetes airmata
mengalir lewat wajah kedut seribu
menyesali malang
berapakah baki umur ku
menjadi modal
bayar hutang kepada Allah
sewaktu muda
bertetesan airliur hanyir
mengalir bersama kencing setan

Beberapa orang lelaki tua
menanti dengan resah
saat yang mereka dulu lupa
kini hampir saja menjengah
saban hari mengira
wajah-wajah yang tinggal
dengan berbekal sedikit hidayat
inilah satu-satunya jalan
antara rumah dan tangga masjid
moga ruh ku diterima kembali
ketika berada di jalan ini

Sunday, June 21, 2009

mukmin sebenar

Suatu hari,
datang seorang badwi
menemui Rasulullah SAW..
katanya..
"Saya telah beriman.."
Jawab Rasulullah SAW,
Usahlah berkata demikian..
katalah..
" Aku telah Islam.."
kerana Iman belum memasuki hatimu..

Hari ini..
andai kita ketemu Rasulullah SAW..
dan berkata
" Aku telah Islam.."
apakah yang mungkin diperkatakan
Rasulullah SAW terhadap kita..?

Apakah kita telah Islam
dengan sebenarnya..?
atau apakah masih
menjadi pengikut syaitan,
musuh kita yang nyata..?

" Masuklah ke dalam Islam
dengan sepenuhnya..
dan janganlah ikuti jejak langkah syaitan..
sesungguhnya dia bagi kamu musuh yang nyata.."

Masuklah Islam sepenuhnya..
taati Allah..
Dia tidak mempersesiakan amalan mu..

Perhambakan diri kepada Allah,
beribadah kepada Dia,
sampai datang Yaqin..

Orang yang beriman ialah,
yang beriman kepada Allah dan RasulNya
dan tidak ragu-ragu..
berjuang dan berjihad di jalanNya..
mereka lah orang yang benar..

Wednesday, June 17, 2009

mencari perjalanan pulang

semakin jauh
perjalanan ini ku tempuhi
semakin ku lihat fasad
di mana-mana...
andai sejak dari mula
aku telah berjalan
tentu tempat ini
masih hijau dan subur..
apakah aku masih punya
masa dan kudrat
untuk islah dan taubat..?
sesungguhnya
titik permulaan
masih jauh
dan aku berjalan
membelakangi masa..

apakah bisa
aku ketemu saat itu
bila Rab ku bertanya
Alastubirabbikum..?
dan aku menjawab
Balaa syahidna..

Yaa Rab..
berilah aku kesempatan
untuk memulai kembali
perjalanan pulang
hingga tiba saat kini
pada 45 tahun lalu..

Monday, June 15, 2009

oleh-oleh untuk tersayang

berapa ramai manusia
membawa kapak
membelah dada
merobek hati
di pinggiran sumur zam-zam
membasuh darah hitam yg kental
agar Allah redha menitipkan nur padanya..
untuk dibawa pulang
sebagai oleh-oleh
buat tersayang..

bapa ku pulang
dengan Islam, Iman dan Ihsan
semerbak..
wangian oud dari kaabah
bingkisan kasih dari Tuhan
Quran dan Sunnah Rasul Pilihan.

ibu ku pulang
dengan hidayah..
mencurah bagai hujan yang jarang
membanjiri lembah tandus ini
sepanjang 13 tahun pertama
hingga syahid
yassir dan sumayyah..

di hari kemenangan besar
124 ribu menjadi saksi di bumi
lebih ramai lagi menjadi saksi di langit
apabila berhala-berhala dipecahkan
dan bilal..
bukan kerana hitamnya
telah azan di atas kaabah..

siapa kamu..?

apakah pandangan manusia yg kau damba..?
manusia semuanya buta..
apakah pandangan Ilahi yg kau ingini..?
kamu sebenarnya bukan siapa-siapa dan tak punya apa-apa..

Tuhan mu yg menciptakan mu dari tanah..
menentukan perjalanan hidup mu, jasad mu dan batin mu..
menetapkan rezeki mu, mematikan mu..kepadaNya kamu dibangkitkan dan ditanya..
Dia tidak menilai diri mu dengan rupa dan zahir jasad dan bukan jua harta..
Dia mengetahui apa yang terselinap di hati mu dan apa yg kau rasai..
Dia melihat hakikat niat dan rencana yg kau sembunyikan..
Dia melihat zahir perbuatan amal mu dan mengetahui hakikatnya..
Dia mengetahui segala yg dirahsiakan dan yang terlebih halus dari itu..

jika kau serahkah kepadaNya segala..
Dia mengetahui apa yg masih tersimpan dan tersembunyi..
Dia mengetahui apa yg sebenarnya tiada dan semua kepura-puraan..

apakah pandangan Ilahi yang kau ingini..?
kamu sebenarnya bukan siapa-siapa dan tidak mempunyai apa-apa..