Monday, April 20, 2009

jika hati ingin, maka berusahalah


Kita adalah insan yang setiap saat berhajat kepada Allah, samada kita rasai hajat itu dengan hati dan perasaan atau suatu yang tanpa kita sedari yang kita tak mampu hidup tanpanya. Keperluan hidup ini sebenarnya telah pun disediakan untuk kita dan kita sedang menggunakannya atau mengecapinya, dan ada yang akan kita temui di sepanjang perjalanan hidup kita di dunia.

Jika seseorang itu tidak menginginkan apa-apa lagi kerana pada pendapatnya segala keperluannya telah pun disediakan, maka itu benar. Jika orang lain pula merasakan masih banyak lagi keinginannya yang masih belum tercapai, maka itu pun benar. Ini kerana terdapat beza yang besar antara keperluan dan keinginan. Keinginan adalah perkara yang lebih dari keperluan atau berbeza dari keperluan. Jika keperluan telah disediakan oleh Allah tanpa kita berusaha lebih, keinginan adalah perkara yang perlu diusahakan lebih dari kadar biasa.

Contoh: Seseorang wanita akan kelihatan cantik pada keadaan biasa, tetapi jika ingin kelihatan lebih cantik, maka hendaklah memakai make-up. Make-up, kenalah beli dan pakai dengan cara yang betul.

Contoh: Seorang anak yang dibesarkan di kawasan bendang, akan mewarisi bendang dan hasilnya ialah padi. Jika ingin jadi jurutera, hendaklah tinggalkan bendang dan belajar kejuruteraan di universiti dan bekerja di firma kejuruteraan.

Dalam contoh di atas, kerana ingin; menyebabkan usaha yang lebih diperlukan. Jika tidak ingin, maka cukup sekadar apa yang ada. Oleh itu, manusia di mana-mana sahaja sedang dibebani oleh perasaan ingin yang tidak terbatas, menyebabkan mereka terpaksa bekerja keras untuk memenuhi keinginan itu. Jika anda mempunyai keinginan yang besar, maka anda hendaklah bersedia untuk berusaha lebih kuat dari biasa.

Dalam proses berusaha memperolehi keinginan, terdapat banyak perintah dan larangan dari Allah. Dilarang ( haram ) dari berusaha dengan cara yang haram. Wajib berusaha dengan cara yang halal. Jika keinginan adalah minima, maka kecenderungan untuk terjebak dalam kancah yang haram adalah juga minima. Jika berusaha dengan cara yang haram, maka balasan azab akan diterima di akhirat. Sebaliknya jika menjauhi yang haram dan mencari yang halal, maka dapat ganjaran pahala dan berkah dari Allah.

Adapun, tidak semua keinginan akan berjaya dicapai semata-mata dengan usaha. Jika Allah tidak memperkenankan, nescaya akan gagal. Sebaliknya jika diperkenankan, akan dipermudahkan dan berhasil. Oleh itu, salah satu dari usaha yang perlu dibuat ialah menaruh keyaqinan kepada Allah dan berdoa kepada Dia. Keyaqinan adalah usaha hati, manakala doa adalah usaha lisan. Selain dari itu adalah usaha tulang empat kerat berpandukan akal dan didorong oleh semangat.


Orang yang beriman, usahanya dalam tiga aspek adalah begitu kuat dan jitu; dan peluang berjaya adalah amat cerah Insyaallah. Orang yang tidak beriman, cuma berusaha dalam satu aspek sahaja; peluang gagal adalah 2/3. Tapi, mengapa zahir keadaan hari adalah sebaliknya..? Mengapa orang beriman dilihat tidak begitu berjaya sebanding dengan orang yang tidak beriman..?

Jawapannya mudah. Orang beriman terjamin berjaya di dunia dan akhirat. Sebaliknya orang tidak beriman hanya berpeluang untuk berjaya di dunia sahaja, itupun jika ada bahagian untuknya. Di akhirat, dia adalah penghuni neraka jahannam. Adakah penghuni neraka jahannam lebih berjaya berbanding penghuni syurga yang kekal..? Tentu tidak sekali-kali....



No comments:

Post a Comment